Hye semua! Follow blog Dayana yeh.. hope doakan Dayana berjaya. syg semua!

Jom chat!!

Friday, December 25, 2009



PESERTA Idola Kecil musim kedua (belakang) Natasha, (tengah dari kiri) Azzamudin, Nurul Ain, Fhazrill, Noranajihah dan Farid. Barisan depan (dari kiri) Dayana, Zur’ain dan Syafienaz.

SENARIO pertandingan yang diadakan di negara ini jika diperhatikan rata-rata lebih condong kepada pertandingan yang membabitkan penglibatan golongan remaja dan dewasa.

Dalam rancak mencari bakat-bakat di kalangan remaja, sedar atau tidak kita seolah-olah lupa akan bakat-bakat yang boleh digilap sedari kecil di kalangan kanak-kanak.

Tidak banyak pertandingan melibatkan kanak-kanak yang dianjurkan oleh stesen-stesen televisyen di negara ini.

Jika ada sekalipun, ialah pertandingan Bintang Kecil yang dianjurkan oleh gergasi penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM). Itupun tidak diberi pendedahan yang meluas kepada masyarakat.

Sedar akan kekurangan pelapis dunia seni suara di kalangan si cilik, TV9 mengambil inisiatif dalam mewujudkan rancangan Idola Kecil bagi melahirkan bakat-bakat baru di kalangan kanak-kanak di negara ini.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama pertandingan tersebut diadakan.

Idola Kecil kali pertama dianjurkan tahun lalu dan berjaya mencungkil bakat cilik, Wada atau nama sebenarnya Wan Shuhada Md. Amin sebagai juara sulung rancangan itu.

Terbuka kepada kanak-kanak berusia antara lapan hingga 10 tahun, sekali lagi rancangan itu ke udara dan kali ini 10 lagi peserta bakal berentap merebut gelaran juara Idola Kecil untuk musim yang kedua.

Pertandingan Idola Kecil 2 memulakan siarannya pada 31 Oktober lalu di mana konsert mingguannya bersiaran setiap hari Sabtu pukul 9.30 malam di TV9.

Peserta yang terlibat ialah Syafienaz Shari, 11, Muhamad Fhazrill Fesol, 11, Khor Bin Sam, 12, Nurul Ain Sollehah Anuwar, 11, Muhammad Azzammuddin Lop Hisham, 12, dan Noranajihah Yunus, 12.

Empat lagi peserta ialah Mohd Farid Mohd Azmi, 12, Nurul Natasha Jaffri, 11, Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah, 10, dan Zur’Ain Abd. Rahim, 12.

Eksekutif Penjenamaan Bahagian Kanak-Kanak TV9, Faiz Zainal Abidin ketika di temui baru-baru ini memberitahu, rancangan tersebut sehingga kini berjaya menarik perhatian ramai. sehingga kini rating yang dicatatkan mencecah 1.17 juta tontonan setiap minggu.

“Ini satu pencapaian yang boleh dikatakan agak membanggakan. Sasaran kami untuk program sebegini sebenarnya adalah 1.2 juta tontonan dan apa yang kami harapkan jumlah penonton Idola Kecil musim kedua ini akan terus meningkat.

“Program ini memang berbeza dengan program pertandingan realiti nyanyian kanak-kanak yang lain. Bukan hanya perlu menyanyi malah mereka turut diajar tentang ilmu lakonan, tarian serta semangat setia kawan antara satu sama lain.

“Itu merupakan daya tarikan rancangan ini. Malah, pelbagai pendedahan cuba kita berikan kepada para peserta termasuk lawatan ke tempat-tempat tertentu yang boleh menambah ilmu pengetahuan mereka dalam muzik,” katanya.

Pertandingan yang diadili oleh 100 peratus juri profesional itu menampilkan tiga tenaga pengajar iaitu cikgu Delly (vokal), cikgu Alfa (pengarah muzik) dan cikgu Affizal (koreografi) manakala juri tetap dipertanggungjawabkan kepada penyanyi, Atilia.

Menjengah ke minggu yang kelima, konsert mingguan yang berlangsung Sabtu ini pasti meningkatkan debaran apabila bakal menyaksikan penyingkiran sulung para pesertanya.

Dikumpulkan dalam sebuah banglo yang terletak di Damansara, pelbagai aktiviti dijadualkan bagi memenuhi program pembelajaran para peserta Idola Kecil.

Bukan itu sahaja, pelbagai kemudahan termasuk tempat tinggal dan bilik kuliah yang selesa disertakan bagi memudahkan kelancaran proses pembelajaran.

“Berkumpul dan berjauhan dengan keluarga secara tidak langsung mengeratkan semangat setia kawan antara mereka dan berkumpul sebagai satu keluarga.

“Malah, hampir tiga bulan ditempatkan dalam banglo, selain mempelajari teknik-teknik nyanyian dan persembahan dalam masa yang sama mereka juga dapat belajar hidup berdikari,” kata Faiz.

Tidak mahu jadual persekolahan para peserta terganggu, kata Faiz, pihaknya seboleh mungkin mengelak pelbagai percanggahan jadual yang melibatkan aktiviti persekolahan para peserta tersebut.

Dalam menghasilkan rancangan pertandingan yang melibatkan kanak-kanak sudah tentu cabaran yang dilalui lebih besar.

Bukan hanya memastikan mereka memperoleh ilmu tentang seni persembahan, malah pihak pengurusan perlu memastikan keselamatan serta melayan kerenah 10 peserta tersebut.

“Memang tidak dinafikan apabila melibatkan peserta di kalangan kanak-kanak, secara tidak langsung melibatkan pelbagai pihak.

“Bagaimanapun, kami telah berbincang dengan pihak sekolah dan ibubapa mereka malah, keselamatan, tempat tinggal serta makan dan minum anak-anak mereka terjamin,” kata Faiz lagi.

Jika bintang-bintang Idola kecil musim pertama didedahkan dalam drama Idola Kecil Cinderella Story yang ditayangkan pada hari raya ketujuh dan keenam lalu di TV9, kali ini kata Faiz, pihaknya merancang untuk mendedahkan bintang-bintang Idola Kecil musim kedua dengan drama bersiri kanak-kanak pula.

Menurut Faiz lagi, drama yang dirancang itu berkonsepkan muzikal kanak-kanak sebanyak 13 episod yang dijangka memulakan rakamannya Januari nanti.


Semua 10 peserta yang menyertai pertandingan ini ialah Syafienaz Shari, 11; Muhamad Fhazrill Fesol, 11; Khor Bin Sam, 12; Nurul Ain Sollehah, 11 dan Muhammad Azzammuddin, 12.

Tidak ketinggalan peserta lain termasuklah Noranajihah Yunus, 12; Mohd. Farid, 12; Nurul Natasha Jaffri, 11; Siti Amirah Dayana, 10, dan Zur’Ain Abdul Rahim, 12.

p/s: sumber dari syoknyer.com

blog comments powered by Disqus
Related Posts with Thumbnails